CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, April 20, 2009

Adab Melawat Orang Sakit

Dalam Islam, segala perbuatan yang kita lakukan merupakan ibadah dan memerlukan panduan yang telah ditetapkan dalam syarak. adab merupakan asas dalam menjalankan ibadah seharian kita. Antara adab semasa melawat orang sakit adalah seperti :

Pertama: Apabila kita menziarahi orang sakit, janganlah duduk terlalu lama, kerana dikhuatiri boleh mengganggunya dan menghalang pergerakannya. Tetapi jika dengan ziarah itu boleh mententeramkan hatinya, maka tidaklah makruh duduk lama di sisinya.

Kedua: Adalah elok bagi orang yang menziarahi orang sakit itu bertanya keadaannya sambil meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan pesakit tersebut asalkan dilakukan tidak bertentangan dengan hukum syara’.

Ketiga: Jika orang yang sakit itu dalam keadaan tenat dan tidak boleh bercakap apa-apa, maka disunatkan bagi orang yang berziarah itu bertanya kepada ahli keluarga tentang keadaannya.

Keempat: Apabila berada di sisi orang sakit, maka disunatkan menyuruhnya bersabar dan hendaklah menyenangkan serta mententeramkan hatinya.

Kelima: Ketika menziarahi orang sakit ataupun semasa berada di tempat lain pada bila-bila masa, maka disunatkan mendoakan pesakit tersebut supaya lekas sembuh.

Keenam: Andaikata orang yang sakit itu dalam keadaan tenat, tiada harapan untuk sembuh atau dalam keadaan nazak (muhtadhar) maka sunat bagi orang yang menziarahinya lebih-lebih lagi orang yang akrab dengan pesakit mengajarkan atau mentalkinkan (membacakan) ditelinganya kalimah “La Ilaha Illallah” sekali sahaja. Kemudian diperhatikan keadaan pesakit itu, jika didapati ia di dalam keadaan tenang (mendengar apa yang diucapkan) maka dibiarkan dia iaitu tidak ditalkinkan lagi kalimah “La Ilaha Illallah” itu. Walaubagaimana pun jika pesakit itu nampak menggelisah atau masih bercakap-cakap atau menuturkan perkara-perkara lain selain daripada kalimah tauhid maka diulangi lagi talkin tersebut sekali lagi, mudah-mudahan matinya nanti di akhiri dengan menyebut kalimah “La Ilaha Illallah” sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Muaz bin Jabal ia berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa yang akhir kalamnya “La Ilaha Illallah” maka ia akan dimasukkan ke dalam syurga. (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Semoga kita bersama dapat menjalankan ibadah kita dengan adab-adab yang sesuai dan mendapat keredhaan daripada_Nya.

0 comments: