1 Disember 2002
Tahun ini merupakan tahun pertama aku berpuasa setelah bergelar seorang Muslim. Setelah hampir setahun memeluk Islam , aku kini sedia untuk berpuasa. Syukurlah, tempoh untuk aku berpuasa tinggal empat hari sahaja lagi.
Petang tadi, seperti biasa, aku ke bazaar Ramadhan bersama-sama Nusaybah, untuk membeli juadah berbuka hari ini. Sebelum ini, kami sempat juga menyediakan beberapa jenis kuih seperti karipap, ketayap dan buah melaka. Tapi sekarang, kerja semakin banyak, masa semakin suntuk.
Semasa di sana, Nusaybah sempat mengingatkanku agar berjimat-cermat kerana Ramadhan bertujuan mengajar kita menyelami perit-jerih mereka yang kurang berkemampuan. Seusai berbuka, aku dan Nusaybah bergegas ke Masjid Al-Muslimun untuk beribadah.
2 Disember 2002
Kami bersahur kira-kira 30 minit sebelum azan Subuh berkumandang. Pernah suatu ketika dahulu, ketika aku masih jahil tentang Islam, atmaku dengan tegas mengklasifikasikan alunan azan sebagai suatu pencemaran bunyi. Astarghfirullah. Namun, kini aku seolah-olah menantikan semangatnya si bilal mengajak kita menyembah Yang Maha Esa.
Subuh pagi itu aku menangis, terkenangkan apalah agaknya nasib saudara-saudara kandungku yang masih menyembah berhala. Papa dan Mama sememangnya masih tidak dapat menerima penukaran agama anak perempuan sulung mereka ini. Selesai solat, aku dan Nusaybah segera bersiap untuk ke pejabat.
Hari itu berlalu seperti biasa, dan mentari tetap terbenam seperti hari sebelumnya. Malam itu, aku kembali ke pembaringan, menanti mentari esok yang belum pasti akan melambai penduduk di bumi Rab ini.
3 Disember 2002
Tengah hari itu, Nusaybah mempelawaku ke kampung seberang untuk memasak bubur lambuk secara berjemaah. Aku bersetuju. Maklumlah, inilah peluang untuk aku mengeratkan hubungan dengan mereka yang seagama denganku. Sungguh, tak dapat aku nafikan, ada yang memandangku dengan seribu macam jenis persoalan dan tak lupa juga, ada pandangan-pandangan serong yang kuterima.
Tahu-tahu sajalah, dengan mata yang menyepet, kulit putih kemerah-merahan dan kepala yang masih belum berkelubung menampakkan rambutku yang lurus keperangan paras bahu, tentu saja ada yang ragu-ragu tentang status agamaku. Tapi aku tidak hiraukan semua itu kerana aku tahu, masih ada yang mahu membimbingku, Nusaybah sebagai contoh. Dia tahu, aku masuk Islam, bukan untuk berkahwin dengan syabab Islam di pejabat, tapi kerana aku benar-benar tertarik dengan agama suci ini.
Sesekali terasa sebak di dada. Kebiasaannya kehangatan suasana memasak beramai-ramai ini hanya dapat kuraikan ketika upacara memasak dan memakan mi wan tan. Dengan Mama yang menyediakan bahan-bahan, Mei Ling dan Mei Fan membuat mi, Papa merakam gelagat kami sekeluarga. Riuh-rendah; bagai dunia ini kami yang punya. Rindu? Sangat-sangat; tambahan pula hari ini hari jadi si kembar, Thomas dan Nicholas.
Mujur ada Nusaybah, yang sentiasa memahamiku. Pelukan hangat dan erat seorang sahabat mengukuhkan persahabatan kami. Apa yang dapat aku rumuskan ketika berada di sana, itulah hebatnya bulan mulia ini, kedatangan Ramadhan telah menghapuskan enau dalam belukar, yang dahulunya melepaskan pucuk masing-masing, kini berganding bahu dan mengeratkan ikatan agar lebih utuh dan kebal.
Malam itu, aku tidak melepaskan peluang untuk membuat Qiamullail selepas bertarawih. Penat, memang penat. Disebabkan tidak pernah sekalipun dalam seumur hidupku berjaga malam, beberapa kali jugalah Nusaybah mengejutkanku dari terus terlena. Mimpi? Bukan masanya untuk aku terlena diulit mimpi-mimi indah, tetapi peluang ini harus kugenggam untuk bersujud dan bertasbih kepada-Nya.
4 Disember 2002
Hari ini, hari terakhir umat Islam berpuasa. Aku membelek-belek sepasang baju kurung bertona merah bersulam benang merah jambu yang Nusaybah belikan untukku. Inilah baju kurung pertama yang aku benar-benar tidak sabar untuk memakainya. Jika dahulu, bagiku baju ini seperti namanya, mengurungku dari bebas melakukan aktiviti lasak. Di sebelahnya, aku melihat cheongsam merah baldu bersulam benang hitam dengan corak ornamental. Cheongsam itu telah diubah suai agar menepati tuntutan syara’, tidak ketat dan tidak menampakkan susuk tubuh, tidak jarang, dan berlengan panjang. Belahan tepi masih dikekalkan, kerana aku akan memakai seluar bersama-sama cheongsam ini.
Sedih rasanya untuk aku tinggalkan bulan penuh barakah ini. Selama sepurnama yang lalu, adakah ibadatku diterima? Kini aku mengerti, berpuasa yang bagiku dulu adalah suatu tindakan bodoh dan menyeksa diri rupa-rupanya tersorok 1001 hikmah di sebaliknya. Terselit kenikmatan yang Allah janjikan untuk hambanya yang beriman. Aku belajar menghargai kemewahan yang aku miliki tidak lama, dan ada yang lebih memerlukan, aku belajar ukhwah kerana Allah itu indah, dan aku belajar merendahkan diriku di hadapan Dia yang Maha Satu. Hanya Dia yang berhak berlaku riak, hanya Dia yang sempurna, hanya Dia yang istimewa tiada duanya.
Tanpa kusedari, mutiara-mutiara jernih jatuh bercucuran. Satu demi satu titisan jatuh ke pipi sebelum sempat titisan sebelumnya kering dihembus bayu. Aku sedar kesilapanku selama ini dan aku bersyukur kerana menjadi antara yang menerima nur pancaran hidayah daripada-Nya. Nusaybah yang melihatku, hanya tersenyum mesra dan memberi kata-kata semangat. Katanya, Allah itu Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Perbualan hati ke hati itu disambut alunan takbir yang bergema di udara.
5 Disember 2002
Takbir raya yang sedari malam semalam, masih kedengaran di luar sana. Syahdu. Alunan lembutnya menusuk kalbuku yang rapuh bak kaca. Kuteringat Mama dan Papa, Mei Ling dan Mei Fan, si kembar yang paling gembira tatkala perayaan Tahun Baru Cina, tentunya Thomas dan Nicholas. Dan aku yang dahulunya digelar Sophea, kini selesa dipanggil Sufiah.
Rupa-rupanya, inilah yang Allah maksudkan dengan Hari Kemenangan. Dia menganugerahkan perayaan ini bagi mereka yang berjaya melawan hawa nafsu dari terbatalnya puasa. Bukanlah niatku untuk takabbur, tetapi sebagai seorang saudara baru, aku berbangga kerana ianya bukanlah perkara yang mudah. Selagi mampu, aku terus berpuasa, melainkan atas sebab-sebab yang tak dapat aku elakkan.
Aku dan Nusaybah bersalaman. Dia menghulurkanku sehelai selendang hitam baldu bersulam manik dan benang putih. Mulanya aku ragu-ragu, bersediakah aku untuk menjunjung imej seorang wanita Islam berhijab? Tetapi atas dorongan Nusaybah, kusarungkan hijab yang mungkin pada pandangan sesetengah orang, kain tersebut hanyalah secebis kain, tetapi kain yang secebis itulah yang mampu memelihara maruahku dan menjadi identiti seorang muslimah mukminah. Terasa begitu selamat diri ini setelah hijab dikenakan di kepala. Kumatikan lilitan tudungku dengan keronsang manik putih berbentuk rama-rama di sebelah kiri dan kananku. Kulabuhkan tudung tersebut agar menepati tuntutan dalam surah Al-Ahzab.
Petang itu, aku menerima kunjungan yang tak kusangka-sangkakan. Seisi keluargaku datang beraya di rumahku. Aku memeluk erat ibuku, Mei Song, insan yang paling tersentak mendengar berita pengislamanku. Benarlah kata pepatah, air dicincang tak akan putus. Lagi pula, Islam amat menitik beratkan hubungan kekeluargaan.
Alhamdulillah, doaku termakbul. Ibuku bersetuju untuk mendalami agama anak perempuan sulungnya ini agar dia lebih memahami pantang-larang dalam agamaku. Walaupun sedikit terkesima dengan penampilan baruku, ibuku memuji-muji kesederhanaan yang terpancar di wajahku. Aku bersyukur ke hadrat-Mu, ya Allah. Doaku agar dilembutkan hati mereka kini termakbul. Inilah yang aku maksudkan – kemanisan Ramadhan.
Wednesday, August 27, 2008
cerpen :: KEMANISAN RAMADHAN~
at 9:41 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment