1. Bersabar dan redha.
Allah s.w.t berfirman:
"...Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh) Allah." (Surah Luqman: 17)
Jika masih sukar juga hendak bersabar, maka jalan terbaik ialah menyedari bahawa penyesalan atau mengeluh akan takdir Allah tidak membawa apa-apa manfaat pun, malah boleh mengundang kemurkaan Allah. Lebih baik jika kita bersabar dan merancang tindakan seterusnya daripada memikirkan nasib atau berkeluh-kesah.
2. Mengucapkan lafaz istirjaa' dan membaca doa musibah.
Lafaz istirjaa' iaitu "Innalillahi wainna ilaihi rajiun" ada diajar di dalam Al-Quran, ayat tersebut bermaksud:
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. [Innalillahi wainna ilaihi raajiun]". (Surah Al-Baqarah: 155-156)
Antara kesilapan masyarakat kita hari ini ialah menganggap ucapan ini hanyalah untuk kematian sahaja. Sebenarnya tidak begitu, berdasarkan ayat di atas jelaslah bahawa lafaz istirjaa' ini patut disebut setiap kali ditimpa kesusahan.
Selain itu kita juga dianjurkan untuk mengamalkan doa sunnah ketika menghadapi musibah.
Doa ini berdasarkan hadith sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim. Doanya mudah saja, setelah membaca lafaz istirjaa', sebutkan "Allahumma ajurni fi musiibati, wa akhlif li khairan minha" yang bermaksud "Ya Allah berilah aku pahala dari musibahku ini dan gantilah dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya". Rasulullah memberitahu lagi, dengan mengamalkan lafaz istirjaa' kemudian diikuti doa ini, Allah pasti akan memberinya pahala atas musibah tersebut dan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya. MasyaAllah.
3. Berusaha untuk mengatasi kelemahan dan memperbaiki kesilapan.
Setiap yang berlaku pasti ada sebab di sebaliknya. Seperti yang disebutkan dalam artikel sebelum ini, jika musibah menimpa kerana kesalahan diri sendiri yang disengajakan, maka apa yang berlaku adalah disebabkan diri sendirilah. Jika kita mahu Allah s.w.t mengubah nasib kita, maka kita sendiri harus memulakan langkah perubahannya. Hal ini jelas sepertimana dalam firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" (Surah Ar-R'ad: 11)
Sebab itu, berusahalah untuk meningkatkan prestasi diri senantiasa. Jangan putus asa, sebab berdasarkan ayat Al-Quran dalam artikel sebelumnya sudah dijelaskan bahawa sifat putus asa adalah sikap orang-orang kafir. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kemudahan dan kejayaan. Amin.
4. Melihat orang yang di bawah, bukan di atas.
Antara ciri minda muslim yang sejati ialah apabila menilai konteks nikmat duniawi, dia sentiasa melihat orang-orang yang dibawahnya, bukannya orang di atas. Apabila ditimpa musibah, dia berkata "Alhamdulillah, sekurang-kurangnya bencana yang menimpa aku tidaklah seteruk orang itu" atau kata-kata seperti ini. Berfikir sebegini mengurangkan rasa ingin berkeluh-kesah bahkan boleh membantu menyemai benih sikap redha dan qanaah.
Itu dalam konteks urusan dunia.
Tapi dalam konteks akhirat pula, baik dalam keilmuan mahupun amal soleh, dia akan sentiasa melihat siapa yang di atasnya dan bersungguh-sungguh untuk menandingi mereka demi mencari redha Allah.
5. Menenangkan hati dengan mengingati Allah.
Segala musibah yang melanda adalah ketentuan Allah. Apabila hati kita sentiasa sedar akan hakikat ini, pasti tiada kegelisahan akan menimpa apabila ditimpa ujian musibah. Apabila hati sentiasa ingat akan Allah, hati akan menjadi tenang:
"..Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah Ar-Ra'd: 28)
Cuba retrospeksi diri anda, apakah hati anda sentiasa tenang dan tenteram apabila ditimpa kesusahan? Ataupun sentiasa rasa gelisah? Jika anda jenis tidak berasa tenang hati, banyakkan lagi mengingati Allah. Lupakan kerisauan atau ketakutan kepada manusia, takutlah kepada Allah semata. Tingkatkan usaha dan berdoalah kepadanya, kemudian kepadaNya kita bertawakkal.
Thursday, July 9, 2009
Cara menghadapi musibah dan kegagalan..
at 8:25 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment